SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan mengarahkan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas sekiranya pihak penganjur ‘Glamping with Pride’ didapati meneruskan aktiviti itu.
“Tiada masalah jika aktiviti ‘glamping’ biasa dengan keluarga, titah Tuanku (Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah) semalam menjurus kepada aktiviti songsang dan tidak dapat diterima malah saya pasti ramai rakyat Malaysia menentangnya.
“Suara juga bangkit daripada parti politik, individu dan Ahli Parlimen… saya rasa tidak mungkin berlaku, tetapi kalau mereka tetap mencabar (menganjurkan aktiviti itu) saya minta pihak berkuasa mengambil tindakan.
“Sebab saya rasa komuniti jelas dengan aktiviti glamping yang selamat, tetapi janganlah kepada tema itu kerana masalahnya adalah tema (aktiviti membabitkan gaya hidup songsang, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) tetapi jangan hukum ‘glamping’ secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Selangor dan Wilayah Kuala Lumpur di Dewan Jubli Perak, SUK di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Semalam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Mufti Selangor mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti membabitkan gaya hidup songsang LGBT di negeri ini.
Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin dan Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir dalam kenyataan bersama hari ini berkata, Sultan Sharafuddin menzahirkan tentangan dan bantahan keras terhadap sebarang aktiviti songsang LGBT yang dianjurkan dalam negeri Selangor.
Berikutan pendirian tegas Sultan Sharafuddin berkaitan dengan isu itu, MAIS dan Mufti Selangor menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menghalang dan tidak mengeluarkan sebarang permit bagi penganjuran program terbabit serta program seumpamanya di Selangor.
Sementara itu, EXCO Agama Islam Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah, berkata setakat ini tiada sebarang permohonan rasmi daripada pihak penganjur itu.
“JAIS pun sudah mengeluarkan arahan kepada PBT supaya tidak memberikan permit untuk tujuan itu,” katanya.
