NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) meminta ibu bapa menyalurkan aduan sekiranya bayaran Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 yang diterima setiap anak mereka yang bersekolah tidak mencukupi.
Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata bantuan itu adalah komitmen kerajaan dalam membantu meringankan beban ibu bapa bagi membuat persiapan persekolahan anak mereka.
Sehubungan itu, beliau berkata, bantuan terbabit perlu diserahkan sepenuhnya tanpa membuat potongan walaupun satu sen demi mencapai matlamat utama kerajaan.
“Ini peringatan yang kita berikan (ingatkan) setiap tahun, sebab RM150 ini memang Kerajaan MADANI peruntukkan untuk (ibu bapa membuat) persiapan sekolah (anak-anak mereka).
“Jadi, kalau ada isu lain, yuran lain (termasuk yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru) itu maknanya kena diselesaikan cara lainlah kerana RM150 ini hanya untuk bantuan persekolahan dan perlu diserahkan dengan jumlah RM150.
“Jika ada ibu bapa yang tak terima RM150 ini contohnya, kurang 10 sen ke, kurang RM1 dia kena beritahu pada kita (KPM untuk tindakan lanjut),” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Cek Cura BAP Tahun 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Sheh Barakbah, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang menerima peruntukan BAP berjumlah lebih RM34.1 juta membabitkan lebih 227,000 murid dan pelajar.
Terdahulu, rata-rata ibu bapa di platform media sosial meluahkan sekolah anak mereka melakukan pemotongan BAP untuk melunaskan bayaran yuran PIBG yang sepatutnya tidak boleh dibuat kerana diingatkan KPM pada setiap tahun.
