kwsp-pgirm-azmi - 1

KUALA LUMPUR: Kebimbangan pencarum terhadap isu dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berpunca daripada tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat, dan bukannya didorong oleh sentimen populis.

Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM), Azmi Mohd Tahir berkata tanggapan bahawa cadangan pengagihan dividen KWSP ke Akaun Fleksibel (Akaun 3) akan menjejaskan simpanan persaraan merupakan pandangan separa yang tidak mengambil kira realiti kehidupan semasa pencarum.

“Isu sebenar bukan hanya soal persaraan pada masa depan, tetapi kelangsungan hidup pencarum hari ini,” menurut kenyataan media pertubuhan itu hari ini.

PGIRM menegaskan bahawa KWSP bukan dana milik kerajaan dan dividen yang diagihkan bukan bantuan ihsan, sebaliknya merupakan hak mutlak pencarum.

Justeru, pertubuhan itu mempersoalkan mengapa penggunaan simpanan KWSP untuk perlindungan insurans dibenarkan, namun keperluan asas semasa dianggap berisiko kepada sistem.

Pertubuhan itu turut memaklumkan bahawa maklum balas yang diterima menunjukkan ramai pencarum berdepan pendapatan tidak mencukupi walaupun bekerja, hutang isi rumah yang meningkat serta kos makanan, pendidikan dan perubatan yang semakin menekan.

Menurut PGIRM, situasi berkenaan bukan kegagalan individu, sebaliknya berpunca daripada struktur kos sara hidup yang tidak seimbang, dan menafikan realiti tersebut dengan statistik semata-mata adalah tidak adil kepada pencarum.

PGIRM menjelaskan bahawa pihaknya telah mengemukakan pandangan kepada Ahli Parlimen dan pembuat dasar sejak 2021 melalui pelbagai saluran termasuk surat rasmi, kenyataan media, sesi libat urus dan cadangan dasar.

Bagaimanapun, pertubuhan itu berpandangan bahawa tanpa kemahuan politik yang jelas, rundingan semata-mata tidak mencukupi, dan tekanan awam berfakta merupakan mekanisme sah dalam sistem demokrasi.

Dalam kenyataan sama, PGIRM menegaskan bahawa ia tidak menuntut pengeluaran besar-besaran simpanan KWSP atau pembukaan Akaun 1 tanpa kawalan, sebaliknya mencadangkan agihan dividen ke Akaun Fleksibel secara bersasar, bersifat pilihan dan sementara.

Azmi berkata PGIRM akan terus memastikan suara pencarum KWSP didengari dan tidak diputarbelitkan.

“Kerajaan yang benar-benar cakna bukan sekadar melindungi masa depan atas kertas, tetapi mengakui bahawa rakyat perlu hidup hari ini sebelum memikirkan hari esok,” katanya.

By Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *