PUTRAJAYA: Bekas Panglima Tentera Darat (PTD) direman selama tujuh hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan tender perolehan Tentera Darat.
Manakala, dua isterinya turut direman dengan tempoh berbeza, masing-masing tiga hari bagi isteri pertama dan enam hari bagi isteri kedua.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah, selepas permohonan dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Terdahulu, ketiga-tiga mereka dibawa ke Mahkamah Putrajaya untuk proses permohonan reman bagi membantu siasatan kes rasuah yang membabitkan pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Mereka hadir sekitar jam 10 pagi menaiki dua buah kenderaan SPRM, memakai baju tahanan berwarna oren.
Semalam, mereka ditahan selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM pada jam 3 petang.
Pada hari sama, sepasang suami isteri yang merupakan pemilik sebuah syarikat juga direman selama tujuh hari, bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Setakat ini, seramai lima individu telah ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah berkenaan.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan, tindakan menahan bekas PTD itu dibuat selepas individu berkenaan dibenarkan keluar dari hospital, susulan rawatan tekanan darah tinggi.
Beliau turut menegaskan SPRM telah mengesan cubaan melarikan wang tunai kira-kira RM2.4 juta yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan kes tender perolehan itu.
