KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, beliau akan memfailkan permohonan menghina mahkamah dan larangan bersuara terhadap ahli perniagaan, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman.
Ia susulan tindakan Aliff Syukri, 38, membuat hantaran di media sosial, mengulas mengenai kes saman fitnah yang difailkan Abdul Kadir, 86, pada hari perbicaraan itu berlangsung.
Peguam, Ravichandaran Selliah yang mewakili Abdul Kadir berkata, mahkamah sebelum ini sudah menasihati supaya tidak membuat sebarang kenyataan, namun ahli perniagaan terbabit masih melakukan kesilapan itu.
“Perbuatannya perlu dihentikan sekarang, kerana ia akan menimbulkan prejudis terhadap kes dan anak guam, sekali gus menjejaskan proses keadilan di mahkamah.
“Ini kerana hantaran itu dibaca oleh jutaan pengikutnya malah dipetik oleh dua media termasuk portal berita hiburan,” katanya di sini, hari ini.
Selain itu, Ravichandaran berkata, kenyataan dibuat Aliff Syukri seperti mahu meraih simpati umum dan memberi gambaran negatif terhadap anak guamnya selaku plaintif.
Katanya, kenyataan peribadi Aliff Syukri berpotensi menjejaskan keyakinan awam terhadap sistem kehakiman dan mencemarkan pentadbiran keadilan.
Susulan itu, beliau memohon mahkamah mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan kesucian mahkamah, keadilan perbicaraan serta keyakinan awam terhadap sistem perundangan terus terpelihara.
Bagaimanapun, Zulfahmi Abu Bakar yang mewakili Aliff Syukri selaku defendan berkata, hantaran awal iaitu “hahaha” sudah diturunkan.
Katanya, hantaran berkenaan tidak lebih kepada bentuk perkongsian di media sosial dan menganggap ia tidak akan mengganggu proses keadilan mahkamah.
“Mengenai hantaran temu bual oleh pihak media, saya belum meneliti perkara itu, sama ada anak guam dihubungi media pada atau sebelum Isnin lalu. Kita juga tidak dapat mengawal berita yang mahu dikeluarkan media,” katanya.
Beliau yang hadir bersama peguam, Mohd Tajudin Abd Razak dan Shah Nurul Afzan Abdullah turut mengesahkan bahawa kenyataan itu tidak meraih simpati masyarakat atau memberi tekanan kepada mahkamah sehingga boleh menjejaskan keputusan kes.
Beliau juga percaya, mahkamah ini adil dan tidak akan mudah terpengaruh dengan komen warganet.
Susulan itu katanya, mahkamah tidak perlu membenarkan permohonan gag order dan menghina mahkamah sebagai mana dipohon pihak plaintif.
