KUALA LUMPUR: Proses pemulihan Tun Dr Mahathir Mohamad yang sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), dijangka memakan masa agak lama dengan mengambil kira faktor usia bekas Perdana Menteri itu.
Perkembangan itu dimaklumkan oleh Setiausaha Akhbar beliau, Sufi Yusoff, dalam satu kenyataan, hari ini.
Sufi menjelaskan, Dr Mahathir akan menjalani rawatan fisioterapi tanpa pembedahan yang diputuskan sebagai pilihan terbaik buat masa ini.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan doktor pakar dari IJN, Hospital Kuala Lumpur (HKL) serta Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Dr Mahathir masih meneruskan rawatan di IJN bagi pemulihan tulang pinggul yang patah akibat terjatuh di kediamannya di The Mines, Serdang, Selasa lalu.
“Dr Mahathir dan keluarga juga mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih atas keprihatinan semua pihak yang sentiasa mendoakan kesihatan serta kesejahteraan beliau.
“Buat masa ini juga, Dr Mahathir tidak dibenarkan menerima pelawat kecuali keluarga terdekat,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan pemimpin berusia 100 tahun itu dikejarkan ke IJN dalam keadaan sedar dengan menggunakan ambulans selepas terjatuh di kediamannya, Selasa lalu.
Dr Mahathir dilaporkan terjatuh ketika bergerak dari satu bahagian di balkoni untuk ke ruang tamu.
Bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu pernah dirawat di IJN akibat keletihan pada 13 Julai lalu, sebelum dibenarkan pulang pada hari sama.
