KUALA LUMPUR: Siasatan dalaman Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesahkan 20 pegawainya terbabit secara langsung dalam aktiviti tidak bermoral yang dikaitkan dengan budaya ‘Yeye’ yang tular di media sosial, baru baru ini.

Susulan itu, Panglima Tentera Udara, Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris, berkata tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mereka terbabit kerana pihaknya memandang serius sebarang pelanggaran terhadap perintah, arahan dan peraturan ditetapkan.

“Siasatan awal mendapati 20 pegawai TUDM terbabit secara langsung dalam aktiviti tidak bermoral ini.

“TUDM akan memastikan pelaku dibicara dan diadili menurut lunas dan peruntukan perundangan ATM,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 5 Januari lalu, Kementerian Pertahanan dalam kenyataan menegaskan pihaknya memandang serius dakwaan berhubung kemasukan individu tidak berkaitan dan aktiviti tidak bermoral yang dilakukan dalam kem tentera seperti tular di media sosial.

Sehubungan itu, pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diarah menjalankan siasatan dalaman segera bagi menentukan kesahihan dakwaan itu secara menyeluruh.

Kementerian Pertahanan menegaskan dakwaan itu tidak mencerminkan budaya, nilai dan amalan sebenar ATM yang berteraskan disiplin, profesionalisme serta pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan.

“Muhamad Norazlan berkata, budaya tidak sihat seperti kegiatan ‘Yeye’ itu bukan suatu amalan dalam TUDM dan pucuk pimpinan kesal terhadap kejadian yang berlaku.

“Pucuk pimpinan TUDM menzahirkan rasa kesal dengan kejadian yang berlaku dan pihak yang gagal melaksanakan arahan juga akan diambil tindakan sewajarnya.

“Kita memandang serius sebarang perlanggaran terhadap perintah, direktif dan peraturan serta tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi,” katanya.

By Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *