PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menolak dengan kos permohonan rayuan Datuk Seri Najib Razak untuk menghidupkan semula tuntutan saman RM1.9 juta terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Ravinthran N Paramaguru membuat keputusan itu dan membenarkan kos RM12,000 yang dimohon peguam Thomas, Alan Adrian Gomez.

Najib mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 25 November 2022 yang membenarkan permohonan Thomas untuk membatalkan saman bekas Perdana Menteri itu tanpa perbicaraan penuh.

Ravintharan ketika membacakan penghakimannya, berkata mahkamah tidak bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Thomas sebagai Peguam Negara mempunyai imuniti terhadap saman sivil yang diambil terhadapnya serta tidak boleh diadili.

Bagaimanapun, panel hakim termasuk Datuk Wong Kian Kheong dan Datuk Nadzarin Wok Nordin, mendapati tidak ada salah laku dalam tindakan Thomas kerana beliau tidak mengetuai pendakwaan terhadap Najib dalam empat kes mahkamah terhadapnya.

“Berhubung isu kekebalan (imuniti) dan kebolehjustifikasian, kami tidak bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi kerana Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan tidak memberikan kekebalan kepada Peguam Negara berhubung dengan tindakan sivil yang diambil terhadapnya secara peribadi.

“Kes-kes yang dirujuk oleh Mahkamah Tinggi tidak terpakai memandangkan terdapat kes-kes jenayah di mana budi bicara Peguam Negara telah dicabar.

“Namun, kami bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa memandangkan kes-kes jenayah itu belum dimulakan ketika saman sivil ini difailkan, tindakan atas dasar salah laku, proses berniat jahat dan kecuaian jelas sekali pramatang,” katanya.

Najib ketika memfailkan saman itu pada 2020 mendakwa dituduh melakukan rasuah dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Thomas menyandang jawatan sebagai Peguam Negara dari 4 Jun 2018 hingga 28 Februari 2020.

Najib memohon pengisytiharan bahawa Thomas telah melakukan penyelewengan jawatan awam serta menuntut ganti rugi sebanyak RM1.9 juta termasuk yuran rundingan untuk pasukan audit menyemak dokumentasi bagi penyediaan fakta untuk menghadapi pendakwaan terhadapnya.

By Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *