KUALA LUMPUR: Kes rasuah membabitkan pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disifatkan sangat serius dan berada dalam skala besar.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata ia berdasarkan pelaku yang didakwa membabitkan kalangan berpangkat tertinggi dalam agensi pertahanan itu.

“Cuba anda bayangkan betapa besarnya masalah itu berdasarkan pangkat mereka yang terbabit. Ia sememangnya sangat besar,” katanya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SPRM dan HELP University serta Pelancaran Siri Forum Tadbir Urus dan Integriti 2026 di sini, hari ini.

Mengenai tindakan menyambung reman bekas Panglima Tentera Darat (PTD) bersama dua isteri yang ditahan SPRM, Azam menjelaskan ia bergantung kepada keperluan siasatan.

“Saya tidak boleh mengesahkan perkara itu buat masa ini kerana masih berbaki satu hari. Saya perlu menyemak dengan pegawai penyiasat.

“Kita mempunyai tempoh maksimum 14 hari reman. Jika esok genap tujuh hari dan siasatan memerlukan masa tambahan, kita akan memohon lanjutan reman di mahkamah,” katanya.

By Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *