KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan sama ada Tan Sri Muhyiddin Yassin cuba ‘menyembunyikan’ surat diutus PAS selepas Presiden BERSATU itu melepaskan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Wan Saiful antara lain mempersoalkan sama ada tindakan itu untuk memberi ruang kepada penyokong Muhyiddin melobi parti komponen PN supaya menolak peletakan jawatan Ahli Parlimen Pagoh itu.

Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU itu mendakwa surat berkenaan diutuskan kepada Muhyiddin untuk mengucapkan terima kasih atas jasa beliau sebagai Pengerusi PN sebelum ini.

“Surat ini secara prinsipnya boleh difahami sebagai penerimaan PAS akan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN itu.

“Mungkinkah penyokong tegar keliling Muhyiddin menasihatkan surat ini disembunyikan sementara bagi memberi ruang mereka melobi parti komponen (PN) supaya menolak peletakan jawatan Muhyiddin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Muhyiddin dilapor mengumumkan meletak jawatan Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari lalu, selepas lima tahun mengetuai gabungan itu.

Berikutan itu, timbul pelbagai spekulasi calon akan menerajui PN dengan antara nama disebut ialah Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Moktar.

Wan Saiful turut mempersoalkan sama ada Muhyiddin akan mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN akan datang, yang dikatakan penting bagi masa depan pembangkang di negara ini.

Bekas Ketua Penerangan BERSATU itu antara lain mempersoalkan keabsahan mesyuarat MT PN yang akan mengesahkan peletakan jawatan Pengerusi, selaras perlembagaan gabungan itu, jika ia dipengerusikan Muhyiddin.

Katanya, Muhyiddin tidak sesuai mempengerusikan mesyuarat yang dianggap penting bagi masa depan blok pembangkang itu, memandangkan agendanya akan membincangkan peletakan jawatan beliau, selain tidak menolak berlaku percanggahan kepentingan.

“MT PN dijangka bermesyuarat tidak lama lagi. Sudah pasti agenda utama ialah pengganti Muhyiddin selepas beliau umum mahu meletak jawatannya bermula 1 Januari lalu.

“Jadi, mengesahkan peletakan jawatan Pengerusi harus menjadi agenda pertama mesyuarat MT PN akan datang, maka timbul persoalan adakah Muhyiddin boleh hadir mempengerusikan mesyuarat itu.

“Sebenarnya MT PN boleh memilih salah seorang Timbalan Pengerusi untuk mempengerusikan perbincangan itu,” katanya yang dipecat keanggotaannya pada Oktober lalu.

Wan Saiful berkata, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Dr Radzi Jidin juga tidak boleh menghadiri mesyuarat itu selepas masing-masing meletak jawatan Setiausaha Agung PN dan Ketua Penerangan PN.

Ini kerana, katanya, peletakan jawatan selain Pengerusi PN tidak memerlukan pengesahan MT gabungan itu dan tempoh kuat kuasa mengikut tarikh peletakan jawatan yang dipersetujui.

“Jika Muhyiddin masih mahu hadir (mesyuarat MT PN), apabila peletakan jawatan (beliau) disahkan, Muhyiddin perlu meninggalkan mesyuarat sebelum masuk agenda kedua.

“Lebih baik bagi Timbalan Setiausaha Agung mengeluarkan notis panggilan mesyuarat tanpa menjemput Mohamed Azmin dan Radzi,” katanya.

Wan Saiful berharap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dapat memastikan dan memantau mesyuarat itu mematuhi prosedur ditetapkan.

“Mereka (penyokong) ‘desperate’ (terdesak) mahu Muhyiddin kekal. Oleh itu, hari ini saya menghantar surat rasmi kepada Ketua Pengarah RoS, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad supaya memastikan mesyuarat mematuhi prosedur,” katanya.

By Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *