KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan, beliau dan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin pernah mengadakan perbincangan supaya anaknya, Naim Kurniawan dijadikan calon Parlimen Kinabatangan.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, perbincangan itu seolah-olah satu wasiat daripada Bung Moktar agar anak lelakinya itu menggantikan dirinya sebagai calon BN dalam pilihan raya akan datang.

“Kebetulan dalam perbincangan saya dengan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar, ada semacam wasiat daripada beliau supaya saudara Naim diberikan peluang untuk bertanding di kawasan Parlimen Kinabatangan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Terdahulu Ahmad Zahid menyempurnakan Majlis Konvokesyen Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) ketiga di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Selasa lalu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun mengumumkan 24 Januari 2026 sebagai tarikh mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK), Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.

PRK kerusi P187 Kinabatangan dan N58 Lamag diadakan susulan penyandangnya, Allahyarham Datuk Bung Moktar meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah jam 1.46 pagi, 5 Disember lalu.

Selain itu, SPR juga menetapkan Hari Penamaan Calon pada 10 Januari, manakala tarikh mengundi awal pula akan diadakan pada 20 Januari.

Ahmad Zahid juga berkata, perbincangan beliau dan Allahyarham Bung itu belum lagi dibawa ke dalam mesyuarat induk sama ada UMNO dan juga Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN).

“Saya fikir dari segi penerimaan juga baik, namun saya perlu mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan kepimpinan dan juga pihak Kerajaan Negeri Sabah,” katanya lagi. 

By Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *