KOTA KINABALU: Ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir mengucapkan tahniah kepada aktivis Marhamah Rosli yang dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Noraidah Lamat, 45, menzahirkan rasa terima kasihnya menerusi satu hantaran di Facebook, sambil mengakui sokongan padu diterimanya daripada Marhamah susulan kematian anak perempuannya itu.
“Alhamdulillah. Tahniah. Anda telah banyak membantu saya. Hanya Allah SWT yang dapat membalas kebaikan anda,” tulisnya sambil berkongsi berita pelantikan Marhamah ke dalam Kabinet Kerajaan MADANI.
Dalam hantaran sama, Noraidah menegaskan perjuangannya menuntut keadilan untuk anaknya masih diteruskan dengan menulis bahawa #JusticeForZara terus bergema, sebagai peringatan bahawa usaha menuntut pertanggungjawaban atas kematian anaknya belum berakhir.
Dalam satu hantaran berasingan, beliau menitipkan doa buat Marhamah dengan menulis: “Semoga Allah SWT sentiasa melindungi anda.”
Beliau kemudiannya berkongsi satu lagi hantaran yang memaparkan video berkaitan pelantikan Marhamah.
Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu ditemui tidak sedarkan diri di bawah sebuah bangunan asrama di sebuah sekolah menengah agama di Papar pada 16 Julai lalu dan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth.
Selepas kejadian itu, Marhamah antara individu terawal yang tampil memberikan sokongan kepada Noraidah dalam usaha menuntut keadilan.
