SHAH ALAM: Bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan didakwa lagi hari ini.

Kali ini di Mahkamah Sesyen, di sini, atas dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram yang keseluruhannya berjumlah RM145,000.

Semalam, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Hafizuddeain, 58, mengaku tidak bersalah terhadap atas empat tuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram yang keseluruhannya berjumlah RM2.12 juta.

Pada prosiding hari ini, tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

“Faham pertuduhan, tidak mengaku bersalah,” katanya selepas pertuduhan dibacakan satu persatu.

Terdahulu, tertuduh tiba di Kompleks Mahkamah Shah Alam pada jam 8.20 pagi bersama peguamnya.

Hafizuddeain menjadi PTD pertama didakwa di mahkamah berhubung kes pengubahan wang haram berkaitan tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).

Mengikut pertuduhan, bekas pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM115,000 dan RM30,000 yang dimasukkan ke akaun bank miliknya.

Kesemua kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di sebuah bank di Ampang antara 19 September hingga 28 November 2024 serta 19 Mei 2025.

Sehubungan itu, Hafizuddeain didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika disabitkan kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat memohon mahkamah menggunapakai ikat jamin berjumlah RM250,000 serta syarat tambahan yang dikenakan terhadap tertuduh bagi empat pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam.

Beliau turut memohon kes berkenaan dibicarakan bersama berikutan akan menggunakan saksi serta fakta kes yang sama.

Peguam Aizul Rohan Anuar kemudian mengesahkan perkara itu dan tiada bantahan untuk permohonan pihak pendakwaan.

Mohd Nasir kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan.

Sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur ditetapkan pada 30 Mac depan.

Pada prosiding di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam, isteri ketiga Hafizuddeain, Salwani Anuar, 27, turut didakwa atas empat pertuduhan rasuah berjumlah RM77,000.

Wanita berkenaan bagaimanapun turut mengaku tidak bersalah seperti mana pengakuan dibuat suaminya yang terlebih dahulu dituduh di Mahkamah Sesyen berasingan.

By Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *