KUALA LUMPUR: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerima peruntukan RM12.4 bilion dalam Belanjawan 2026 bagi memperkasakan sosio-ekonomi masyarakat luar bandar, meningkat 3.69 peratus berbanding tahun lalu.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata fokus peruntukan itu disalurkan melalui lima kluster utama iaitu infrastruktur asas, ekonomi, keusahawanan, modal insan dan sistem penyampaian bagi memastikan kesejahteraan penduduk di kawasan wilayah dan pedalaman.

Beliau berkata, sebanyak RM3.3 bilion dikhaskan bagi memperkukuh prasarana asas yang meliputi pembinaan serta naik taraf jalan kampung, bekalan air dan elektrik, selain pemasangan panel solar serta lampu cekap tenaga sebagai pemangkin ekonomi setempat.

Katanya, usaha itu bertujuan meningkatkan keterhubungan dan akses utiliti bagi mengurangkan kos logistik serta mengukuhkan daya saing wilayah secara menyeluruh.

Bagi kluster ekonomi dan keusahawanan, katanya, kementerian memberikan tumpuan kepada penciptaan pendapatan mampan melalui program seperti Desa Kirana yang setakat Januari 2026 telah membangunkan 25 desa bagi mempelbagaikan sumber pendapatan komuniti dalam sektor pelancongan, kraf tangan dan hospitaliti.

Selain itu, katanya, inisiatif menaikkan skala usahawan desa turut dilaksanakan melalui penyediaan peluang latihan, bimbingan pembiayaan serta pendigitalan perniagaan bagi membolehkan produk tempatan menembusi pasaran yang lebih luas.

Ahmad Zahid turut menekankan kepentingan pembangunan modal insan melalui program Tenaga Kerja Digital Luar Bandar (RDW) yang melatih belia luar bandar dengan kemahiran digital untuk bekerja secara bebas atau jarak jauh.

“Inisiatif ini disokong oleh 191 Pusat Komuniti Desa (PKD) yang dilengkapi internet berkelajuan tinggi bagi memastikan golongan belia luar bandar mampu bersaing dalam ekonomi digital serta meningkatkan mobiliti sosial mereka,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) mengenai strategi pemanfaatan peruntukan Belanjawan 2026 dan mekanisme pemantauan bagi memastikan projek di kawasan pedalaman memberikan impak tinggi kepada pendapatan isi rumah.

Ahmad Zahid berkata, KKDW komited memastikan projek di kawasan terpencil termasuk Sabah dan Sarawak disiapkan mengikut jadual melalui mekanisme pemantauan berterusan, laporan berkala serta audit keberkesanan.

Beliau berkata, penyelarasan rapat antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan agensi pelaksana juga diperkukuh bagi memastikan setiap projek yang dipilih adalah berimpak tinggi dan memenuhi keperluan sebenar komuniti setempat.

“Pemilihan projek strategik menumpukan kepada program berimpak tinggi yang menyentuh kesejahteraan hidup, peluang ekonomi dan pembangunan modal insan, dengan penyelarasan rapat antara KKDW, kerajaan negeri dan agensi pelaksana bagi memenuhi keperluan sebenar komuniti, termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak,” katanya.

By Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *