SHAH ALAM: Mubasyyir Travel & Tours Sdn Bhd mengumumkan pengukuhan operasinya sebagai pengendali umrah tempatan berskala nasional dengan sasaran membawa seramai 5,000 jemaah menjelang awal 2026, khususnya dalam kalangan golongan B40 dan M40.

Pengarah Urusan Mubasyyir Travel & Tours, Datin Seri Hajah Intan Abdul Hamid berkata, langkah itu mencerminkan komitmen syarikat untuk membantu lebih ramai umat Islam menunaikan ibadah ke Tanah Suci secara selamat, teratur dan berintegriti, sekali gus memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap pengendali umrah tempatan yang berlesen.

“Mubasyyir ditubuhkan pada 2023 sebagai syarikat bumiputera 100 peratus dan berlesen penuh di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Dalam tempoh singkat, kami berkembang secara konsisten hasil kepercayaan orang ramai terhadap disiplin operasi yang kami amalkan,” katanya pada sidang media hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Mubasyyir Travel & Tours, Ustaz Haji Muhammad Salleh.

Beliau berkata, setakat ini Mubasyyir mengendalikan sehingga 28 penerbangan semusim, bersamaan purata tiga penerbangan sebulan, sekali gus meletakkan syarikat itu antara pengendali umrah tempatan yang mencatat pertumbuhan pesat dalam tempoh singkat.

Menurutnya, pengukuhan operasi itu turut menjadi asas kepada perancangan jangka panjang syarikat untuk terlibat secara rasmi dalam pengurusan ibadah haji bersama Lembaga Tabung Haji menjelang 2027.

“Kami melihat penglibatan dalam pengurusan haji sebagai kesinambungan tanggungjawab kami dalam industri ibadah. Justeru, penekanan kini diberikan kepada pengukuhan tadbir urus, pematuhan peraturan dan kestabilan operasi,” katanya.

Dalam masa terdekat, beliau berkata lebih kurang seramai 30 jemaah akan berlepas ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah umrah syawal sebagai sebahagian daripada jadual penerbangan berkala syarikat.

Mengulas situasi semasa industri, Datin Seri Hajah Intan Abdul Hamid berkata sektor umrah kini berdepan beberapa cabaran utama termasuk kewujudan ejen tidak berlesen, perubahan dasar visa Arab Saudi, persaingan harga tidak sihat serta peningkatan kos operasi yang berpotensi menjejaskan kepentingan jemaah jika tidak dikawal dengan baik.

“Isu penipuan pakej umrah juga semakin membimbangkan dan memberi kesan besar pada imej industri secara keseluruhan. Ia bukan sahaja merugikan jemaah, malah mencemarkan reputasi pengendali yang sah dan berlesen,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada sebelum membuat sebarang tempahan umrah, antaranya dengan memastikan agensi memiliki lesen MOTAC yang sah, tidak terpengaruh dengan pakej yang ditawarkan pada harga terlalu murah, menyemak rekod penerbangan yang jelas serta mengelakkan bayaran dibuat ke akaun peribadi.

Beliau berkata, pemilihan pengendali yang mengamalkan ketepatan jadual penerbangan dan pengurusan yang telus penting bagi menjamin kelancaran ibadah jemaah.

Maklumat lanjut mengenai Mubasyyir Travel & Tours boleh diperoleh melalui laman sesawang www.mubasyyirtravel.com.my.

By Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *