ARAU: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, mahu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perlis mengutamakan rakyat terlebih dahulu tanpa mengira parti yang mereka wakili.

Baginda bertitah, rakyat dan negeri harus menjadi keutamaan setiap wakil rakyat selepas memperoleh mandat melalui pilihan raya.

“Tuan-tuan dipilih menjadi wakil rakyat untuk mewakili rakyat, bukan mewakili diri sendiri. Dalam hal ini, utamakan rakyat dan negeri.

“Ketika menjadi wakil rakyat pula, lupakanlah parti mana diwakili kerana tuan-tuan adalah wakil kepada semua rakyat dan menjaga rakyat tidak kira apa parti pun. Sekiranya rakyat memerlukan bantuan, kena bagi bantuan dan jangan mengikut parti.

“Utamakanlah rakyat lebih daripada parti,” titah baginda pada Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis di Istana Arau, hari ini.

Baginda sekali gus menegaskan wakil rakyat juga perlu adil kepada rakyat, dan tidak sewenang-wenang mengabaikan tanggungjawab dalam memahami kehendak rakyat.

Majlis berlangsung jam 11 pagi tadi menyaksikan empat ADUN daripada BERSATU dilantik membarisi EXCO Perlis bawah kepimpinan Menteri Besar yang baharu, Abu Bakar Hamzah.

Mereka ialah ADUN Titi Tinggi, Izizam Ibrahim; Datin Marzita Mansor (Sena), Megat Hashirat Hassan (Pauh) dan Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang).

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, dan anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail, turut berangkat ke majlis itu.

Majlis juga disaksikan oleh Abu Bakar; bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli; Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Rahimi Ismail; Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin; Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri Perlis, Yang Zaimey Yang Ghazali; dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan.

Turut hadir ialah barisan ADUN daripada PAS kecuali ADUN Kayang, Asrul Aimran Abd Jalil.

By Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *