KUALA LUMPUR: Penggantian Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) sebenarnya tidak rumit sekiranya tiada halangan dalaman dan semua pihak benar-benar mahu melihat gabungan itu bergerak ke hadapan, kata Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Wan Saiful, yang juga bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, berkata Muhyiddin sendiri telah menawarkan untuk meletakkan jawatan, dan sekiranya perkara itu diterima dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN, maka proses peralihan kepimpinan boleh dilaksanakan dengan mudah.

Menurut beliau, PAS mempunyai kelayakan untuk menerajui PN memandangkan parti itu merupakan komponen terbesar dalam gabungan tersebut serta memiliki jumlah kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri paling banyak.

“Jika kelayakan ini dipersetujui oleh semua parti komponen, maka penggantian pengerusi tidak sepatutnya menjadi masalah kerana mana-mana pemimpin yang dinamakan oleh PAS wajar diterima,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Bagaimanapun, Wan Saiful berkata terdapat dua komplikasi yang sedang menghalang proses tersebut. Komplikasi pertama melibatkan kebimbangan dalam kalangan GERAKAN dan MIPP berhubung mandat mereka untuk mendapatkan sokongan pengundi bukan Melayu bagi PN.

Menurut beliau, terdapat kebimbangan bahawa usaha itu akan menjadi lebih sukar sekiranya PAS menerajui PN, berikutan kemungkinan perubahan persepsi dan imej gabungan tersebut dalam kalangan pengundi bukan Melayu.

Bagi mengatasi kebimbangan itu, Wan Saiful berkata terdapat cadangan supaya Datuk Seri Hamzah Zainudin dilantik sebagai Pengerusi PN. Katanya, jika sebelum ini PAS boleh mencadangkan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang, maka tiada halangan untuk PAS sekali lagi mencalonkan beliau sebagai pengerusi.

Selain Hamzah, nama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, turut disebut sebagai antara calon berpotensi untuk memimpin PN.

Wan Saiful berkata sekiranya Hamzah dicalonkan, kemungkinan besar GERAKAN dan MIPP dapat menerima pencalonan tersebut, manakala pencalonan Ahmad Samsuri pula memerlukan perbincangan lanjut khususnya dari sudut persepsi awam.

Mengulas komplikasi kedua, Wan Saiful mendakwa wujud gerakan dalaman dalam BERSATU yang cuba menghalang pencalonan tokoh-tokoh tertentu, khususnya Hamzah. Menurutnya, pelbagai syarat tambahan cuba diketengahkan, termasuk dakwaan bahawa jawatan Pengerusi PN hanya boleh disandang oleh presiden parti atau pemimpin BERSATU tidak boleh memegang sebarang jawatan dalam PN.

Beliau turut mendakwa sejak kebelakangan ini terdapat serangan terhadap Ahmad Samsuri di media sosial yang bertujuan menimbulkan keraguan terhadap kepimpinan tokoh tersebut.

Wan Saiful menyifatkan komplikasi kedua itu sebagai tidak tulen dan hanya akan melemahkan PN sekiranya dibawa secara serius dalam perbincangan rasmi.

“Jika syarat-syarat ini diteruskan, ia memberi gambaran bahawa ada pihak yang sanggup melihat PN menjadi lemah sekiranya kepimpinan tidak memihak kepada individu tertentu,” katanya.

Menurut beliau, kegagalan menangani perbezaan dalaman secara matang berisiko menjejaskan kedudukan PN sebagai gabungan pembangkang yang berkesan.

By Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *