KEPONG: Lotus’s Stores (Malaysia) Sdn. Bhd. melancarkan kempen Tahun Baharu Cina 2026 bertemakan “Semuanya Ekstra Ongsem”, dengan matlamat menjadikan pengalaman membeli-belah perayaan lebih mudah, berbaloi dan mampu milik untuk rakyat Malaysia sempena Tahun Kuda Api.
Kempen ini berteraskan konsep “Ekstra”, merangkumi nilai tambahan, keprihatinan dan perhatian terhadap keperluan pengguna, dengan penawaran bukan sahaja diskaun tetapi juga pengalaman membeli-belah perayaan yang menyeluruh.
Pengarah Komersial Lotus’s Malaysia, Lee May Li, berkata kempen tahun ini memberi tumpuan kepada nilai praktikal yang relevan dengan keperluan isi rumah.

“Selain tawaran hebat, kami memberi perhatian tambahan dalam menyusun rangkaian produk yang relevan, ganjaran bermakna serta aktiviti menarik yang benar-benar menyokong cara rakyat Malaysia menyambut perayaan,” katanya.
Menurut beliau, pengguna kini mahukan nilai tanpa mengorbankan kualiti, justeru Lotus’s menawarkan rangkaian perayaan yang seimbang dari segi harga, kualiti dan keperluan harian bagi membantu pelanggan menjimatkan masa serta menikmati musim perayaan dengan lebih tenang.
Sepanjang tempoh 1 Januari hingga 18 Februari, pelanggan boleh menikmati diskaun sehingga 50 peratus bagi lebih 1,500 barangan keperluan perayaan, termasuk barangan runcit, hasil segar, kesihatan dan kecantikan, barangan rumah, fesyen serta peralatan elektrik.
Antara tarikan utama kempen ini ialah barangan eksklusif Lotus’s seperti beras premium dan minuman bersaiz khas, tawaran Beli 1 Percuma 1 bagi hasil segar premium untuk makan besar keluarga, serta promosi jenama sendiri Lotus’s bagi barangan ruji harian. Lotus’s turut menawarkan bakul hadiah Tahun Baharu Cina daripada jenama terkenal serta kotak hadiah buah-buahan premium dengan harga bermula dari RM98.

Bagi meningkatkan pengalaman perayaan, Lotus’s memperkenalkan CNY World di 31 cawangan terpilih di seluruh negara. Ruang pengalaman ini menampilkan aktiviti interaktif, sesi merasa produk, demonstrasi masakan secara langsung dan permainan anjuran jenama.
Pelanggan yang menyertai aktiviti kempen turut berpeluang memenangi hadiah daripada kolam hadiah bernilai RM700,000, termasuk kenderaan mewah, SUV elektrik dan peralatan dapur premium, hasil kerjasama dengan rakan penaja.
Selain itu, ahli My Lotus’s berpeluang menikmati ganjaran eksklusif bernilai keseluruhan RM888,888 sepanjang tempoh kempen. Dengan perbelanjaan minimum RM128 setiap resit dan penyertaan melalui aplikasi Lotus’s Malaysia, ahli berpeluang memenangi ganjaran mingguan serta hadiah utama berupa wang tunai dan baucar.
Lotus’s juga akan menganjurkan siri roadshow dan aktiviti komuniti di seluruh negara, termasuk kemunculan DJ MY FM, Roadshow My Lotus’s di 15 lokasi, serta kolaborasi eksklusif dengan KYO yang menawarkan hadiah menarik seperti telefon pintar, jongkong emas dan peralatan elektrik.
Bagi pelanggan perniagaan dan pembelian pukal, Lotus’s menyediakan sokongan khas melalui Kaunter Perniagaan HoReCa (Khidmat Peniaga) di beberapa cawangan terpilih, selain bantuan di semua kaunter khidmat pelanggan.
Kempen ini dilancarkan secara rasmi menerusi acara media interaktif yang turut menampilkan rakan jenama Lotus’s serta aktiviti tradisi Tahun Baharu Cina, sekali gus menegaskan komitmen Lotus’s sebagai destinasi beli-belah sehenti bagi sambutan perayaan yang mudah dan mampu milik.
