PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang baharu, Dr Zulkifli Hasan, menegaskan komitmennya untuk menerajui pengurusan hal ehwal Islam berteraskan pendekatan lebih inklusif, damai dan berteraskan prinsip bersederhana, sejajar dengan kepelbagaian masyarakat di negara ini.

Beliau berkata, hal ehwal agama memainkan peranan sangat penting dan signifikan, bukan saja dalam pembentukan masyarakat, malah dalam konteks pembangunan negara secara menyeluruh.

“Apa yang ingin kita bawa ialah imej Islam yang rahmah, inklusif, damai, makasid, wasatiyyah atau bersederhana dan meraikan kepelbagaian.

“Pada masa sama, Islam yang berkemajuan ini perlu ditonjolkan supaya semua pihak melihat Islam itu indah dan mampu membawa kerahmatan kepada seluruh alam serta rakyat Malaysia,” katanya selepas mengimbas kad perakam waktu sebagai simbolik memulakan tugas rasminya sebagai Menteri Hal Ehwal Agama hari ini.

Hadir sama, Timbalannya yang juga lantikan baharu, Marhamah Rosli.

Sementara itu, mengulas pelantikannya sebagai menteri bagi menggantikan Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, Zulkifli merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan negara atas kepercayaan diberikan kepadanya untuk memimpin perkhidmatan hal ehwal agama.

Beliau menegaskan amanah itu satu tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan ketulusan.

Katanya, keutamaan kepimpinannya adalah membina pasukan kukuh membabitkan semua 14 agensi di bawah portfolio berkenaan.

“Apa yang penting ialah wujudnya keharmonian, perpaduan dan kesatuan hati serta minda dalam kalangan semua agensi bagi melaksanakan perjuangan dan haluan agama di Malaysia dengan sebaiknya,” katanya.

By Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *