kwsp-pgirm-azmi-ahlong - 1

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) menuntut penjelasan segera daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung aktiviti pemberi pinjaman yang didakwa berleluasa menyasarkan pencarum KWSP berusia antara 53 hingga 55 tahun.

Presidennya, Azmi Mohd Tahir berkata pemberi pinjaman yang didakwa berada di bawah kawalan KPKT menawarkan skim pinjaman berkonsepkan “pinjam dahulu dan bayar apabila keluar KWSP” dengan kadar faedah yang tinggi.

Katanya, skim ini didakwa mensasarkan pencarum yang hampir mencapai usia pengeluaran simpanan persaraan.

“Tindakan ini menimbulkan risiko serius kepada maruah persaraan pencarum kerana pencarum yang terdesak meminta akses kepada wang titik peluh mereka sendiri disekat daripada membuat pengeluaran sewajarnya, sedangkan wang tersebut bukan dana kerajaan tetapi hasil simpanan dan pengorbanan pencarum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam masa yang sama, Azmi mendakwa aktiviti tidak bermoral oleh pemberi pinjaman terus berlaku tanpa tindakan penguatkuasaan berkesan.

“Pinjaman ditawarkan dengan cagaran simpanan KWSP pencarum, sekali gus meletakkan wang persaraan mereka dalam keadaan terdedah kepada risiko kehilangan.

“Apabila tiba masa pengeluaran simpanan KWSP, wang pokok bersama faedah bagi tempoh satu hingga tiga tahun akan dibayar kepada pemberi pinjaman. Keadaan ini menyebabkan hak pencarum untuk bersara dengan maruah berpotensi lenyap,” jelasnya.

Menurut Azmi, aktiviti ini jelas bercanggah dengan objektif kerajaan untuk menjaga dan melindungi simpanan persaraan pencarum secara beretika dan bertanggungjawab.
“Perlindungan simpanan persaraan bukan sekadar dasar di atas kertas, tetapi perlu merangkumi perlindungan sebenar daripada skim pinjaman yang tidak bermoral,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menuntut KWSP, KPKT dan MCMC memberikan penjelasan terbuka mengenai bagaimana aktiviti sedemikian dibenarkan berlaku.

Pertubuhan itu turut menggesa tindakan segera diambil bagi membasmi promosi pinjaman berisiko tinggi yang menyasarkan golongan pencarum paling terdesak.

“Kami menuntut agar polisi perlindungan pencarum dikaji semula bagi memastikan maruah persaraan benar-benar terjamin dan pencarum tidak lagi dipaksa memilih antara menanggung hutang berisiko tinggi atau kelangsungan hidup.

“Sebarang kecuaian atau kelewatan dalam menangani isu ini berpotensi menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap sistem simpanan persaraan negara,” katanya.

By Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *