SHAH ALAM: Tourism Malaysia menjalinkan kolaborasi strategik dengan pasar raya Aeon Co. (M) BHD bagi membantu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan, beli-belah dan gaya hidup yang dinamik sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man berkata, kolaborasi ini dijalankan bagi memudahkan pelancong mendapatkan akses produk tempatan.

Sehubungan itu, pusat beli-belah ini akan tampil dengan pelbagai tawaran berpatutan bukan hanya akan menarik minat pelanggan tempatan dalam masa yang sama pelancong antarabangsa.

“Kita tidak lagi hanya bergantung kepada pelanggan sendiri (tempatan). Pelancong akan rasa mudah membeli-belah di negara kita apabila barangan kita, produk kita mudah diakses.

“Pengalaman pelancongan menjadi sebahagian perkara penting bagi seorang pengunjung,” katanya ketika berucap di majlis Pelancaran Kerjasama Strategik Antara Tourism Malaysia dengan Aeon Co (M), di sini hari ini.

Menjelang Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri, Aeon akan menjadi platform untuk menghubungkan budaya membeli belah dengan pelancongan melalui promosi tawaran yang berpatutan kepada rakyat tempatan dan pelawat antarabangsa.

Pusat beli belah itu juga akan bekerjasama dengan pelbagai pemain industri, termasuk hotel, ejen pelancongan, syarikat penerbangan dan pusat beli-belah lain untuk mempromosikan kempen TMM 2026 di Aeon.

Di samping itu, Aeon turut merancang pelbagai inisiatif menarik sepanjang tempoh kempen berkenaan antaranya Cerita Raya bersama Wira & Manja, AEON Carnival Bazaar yang menampilkan pelbagai makanan tempatan, dan “Tourism Malaysia Run” yang akan diadakan di beberapa negeri terpilih.

Selain itu, video destinasi Visit Malaysia akan turut dipaparkan di skrin LED yang terdapat di pusat beli belah itu.

Chiew turut mengalu-alukan kerjasama pelbagai pihak dengan Tourism Malaysia demi terus membantu mempromosikan negara menjelang TMM 2026.

By Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *