KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner di sini, hari ini, diberitahu bahawa seorang saksi ialah antara yang diarahkan oleh pelajar senior untuk tidak melihat atau mendengar apa berlaku pada malam 15 Julai tahun lalu di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha.

Saksi itu memaklumkan bahawa pada malam arwah Zara Qairina Mahathir dipanggil oleh pelajar senior di asrama berkenaan, tiga insiden berasingan berlaku dalam tempoh keseluruhan kira-kira sejam.

Peguam, Shahlan Jufri yang mewakili ibu Zara Qairina, berkata dua daripada insiden berkenaan membabitkan dakwaan kes curi.

“Kejadian ketiga pula ialah apabila pelajar senior membacakan sekeping kertas di mana arwah Zara meluahkan hasratnya untuk menjadi seorang ‘badar’ (pengawas).

“Ketika insiden ketiga itu, seorang pelajar senior dikatakan memberitahu saksi-saksi di asrama berkenaan supaya ‘jangan tengok, jangan dengar, jangan pasang telinga’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memaklumkan ringkasan prosiding inkues kes kematian Zara Qairina, hari ini, kepada pemberita.

Shahlan berkata, saksi kanak-kanak terbabit mematuhi arahan itu kerana takut dimarahi.

Beliau berkata, saksi ketika ditanya oleh Koroner Amir Shah Amir Hassan juga menggambarkan suasana pada malam itu sebagai tegang dan lebih menakutkan berbanding insiden serupa sebelumnya.

Arwah Zara Qairina yang berusia 13 tahun ketika kejadian, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di tingkat bawah bangunan asrama sekolah pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia pada keesokannya.

Pada hari ke-55 prosiding inkues, hari ini, seorang saksi kanak-kanak turut dipanggil semula untuk memberi keterangan mengenai dia menerima beberapa nota tulisan tangan daripada Zara Qairina, dengan ada yang ditulis di atas kertas kuning.

“Atas kertas kuning itu, kandungannya berbunyi: ‘Bye, kesayangan.’

“Apabila ditanya apa maksudnya, pelajar itu berkata ia bermaksud Zara memaklumkan kepadanya bahawa dia akan ke musolla,” kata Shahlan sambil memberitahu nota itu dikata diletakkan di dalam sebuah buku teks.

Beliau berkata, saksi itu juga memaklumkan terdapat satu lagi nota di dalam buku teks berkenaan tetapi sudah hilang.

Prosiding inkues bersambung Isnin depan.

By Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *