YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat Pembangunan Bentong di Pejabat Daerah Bentong, Pahang. 22 Januari 2026. IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri. NO SALES; NO ARCHIVE; RESTRICTED TO EDITORIAL USE ONLY. NOTE TO EDITORS: This handout videos may only be used for editorial reporting purposes for the contemporaneous illustration of events, things or the people in the visual or facts mentioned in the caption. Reuse of the videos may require further permission. MANDATORY

BENTONG: Keutamaan menguasai Bahasa Kebangsaan oleh semua pelajar termasuk di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) amat mustahak dalam usaha meningkatkan mutu pendidikan negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, dasar dan keperluan menguasai Bahasa Kebangsaan dengan baik, bukan bermakna kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan (KPM) tidak memberi ruang untuk pelajar menguasai bahasa ibundanya sendiri dan bahasa lain seperti Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris.

“Saya tetapkan dalam negara ini penguasaan Bahasa Melayu yang baik. Kita juga tekankan keperluan untuk kita juga bersaing di persada dunia, (maka juga) dengan penguasaan Bahasa Inggeris yang baik.

“Tetapi sistem negara kita, membolehkan anak-anak di SJK Cina dan Tamil, untuk menguasai bahasa Cina, bahasa Tamil yang baik, dengan syarat semua mesti menguasai Bahasa Melayu yang juga bahasa rasmi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika hadir pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama masyarakat Tionghua di SJKC Perting di sini, hari ini.

Turut sama hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.

Dalam majlis itu, Anwar turut mengumumkan kelulusan peruntukan RM13.5 juta untuk SJKC Perting, bagi kerja baik pulih infra di sekolah berkenaan, dengan peruntukan segera RM300,000 diluluskan serta merta bagi membolehkan kerja pra pelaksanaan dimulakan segera.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, KPM sudah diminta untuk menyediakan guru bahasa Cina dan bahasa lain secukupnya termasuk di Sekolah Kebangsaan (SK) bagi membolehkan semua pelajar diberi peluang mempelajari bahasa kedua dan ketiga.

“Bukan saja di SJKC, tapi juga Sekolah Kebangsaan, iaitu sekiranya ada anak yang mahu belajar bahasa Cina atau bahasa Tamil dan bahasa Arab. Ini kita mahu ke depan, sebab kita tak mahu lagi bertelingkah antara kaum yang tidak berkesudahan soal bahasa.

“Keutamaan kita untuk meningkatkan mutu pendidikan anak-anak kita. Supaya anak-anak lulusan (SJKC) Perting, Bentong ini juga dapat naik kedudukan mereka, bersaing, bukannya dalam negara, di rantau ASEAN tapi di dunia. Jadi ini cita-cita kita.

“Ada perbedaan kecil, kita boleh bincang. Tapi jangan hilang fokus kita. Kalau mahu Malaysia maju, kalau mahu anak-anak kita maju, baiki sekolah. Latih guru-guru. Beri kemudahan. Kuasai bahasa. Kuasai digital dan AI (kecerdasan buatan). Kuasai matematik, sains dan teknologi. Ini akan menentukan masa depan anak-anak kita,” katanya.

Kerajaan juga kata Perdana Menteri, sedaya upaya berusaha untuk memastikan kemudahan dan prasara yang tersedia di sekolah berada dalam keadaan baik.

By Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *