KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud komited untuk menyelesaikan baki 16 daripada 29 perkara yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Mustapha yang dilantik penghujung tahun lalu menerajui portfolio itu, berkata beliau masih dalam proses mendapatkan input daripada pelbagai pihak berkaitan pelaksanaan perkara yang terkandung dalam MA63.

“Semalam, saya di Sarawak untuk membuat kunjungan hormat kepada Yang di Pertua Negeri Sarawak dan juga Premier Sarawak.

“Saya telah mendapat input daripada kedua-dua tokoh ini berkaitan pandangan (kerajaan negeri) Sarawak tentang bagaimana kita melaksanakan MA63.

“Hari ini, saya akan membuat kunjungan hormat kepada Yang di Pertua Negeri Sabah dan Ketua Menteri Sabah pada tengah hari nanti

“Kita akan bawa balik semua pandangan mereka. Saya sendiri akan menggerakkan dan menguruskannya dengan kementerian berkaitan untuk kita memulakan gerak kerja yang sebelum ini sudah dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2026 bagi negeri Sabah bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandaraya, di sini, hari ini.

Mustapha dalam pada itu memaklumkan berkata susulan pelantikannya sebagai menteri yang menguruskan hal ehwal Sabah dan Sarawak, beliau diminta secara spesifik untuk membuat susulan perkara dalam MA63 yang belum dilaksanakan.

“Kita akan bawa kepada dua peringkat lagi. Sekarang ini ada tiga peringkat. Pertama iaitu dari segi peringkat penyelarasan yang saya akan ketuai sendiri.

“Mana-mana isu yang tidak selesai akan diangkat kepada Jawatan Kuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Jika tidak selesai juga, barulah diangkat ke jawatankuasa utama MTPMA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri dan akan dihadiri Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah .. itu prosesnya,” katanya.

Beliau memaklumkan pihaknya akan melancarkan Dashboard Status Terkini Perkara di bawah MA63 yang dijadual boleh diakses melalui portal rasmi Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) Jabatan Perdana Menteri pada penghujung bulan ini.

“Ini supaya rakyat dapat lihat apa sebenarnya kedudukan, perbincangan apa yang sudah selesai dan belum selesai (berkaitan MA63).

“Jadi biar rakyat mendapat maklumat yang tepat. Kalau tidak mereka akan dapat maklumat daripada luar yang kadang-kadang tidak tepat,” katanya.

By Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *