AYER KEROH: Bekas Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (PKSM), Mohd Hakim Mohd Nor dituduh lagi atas dakwaan menyalahgunakan harta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu, kali ini membabitkan enam pertuduhan dengan nilai lebih RM570,000.
Mohd Hakim, 39, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, dan minta dibicarakan.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam dia didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan harta milik Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim, iaitu wang derma bantuan misi kemanusiaan dengan kerjasama NGO di Myanmar, Yaman, Syria dan Palestin berjumlah RM576,995.40.
Dia dituduh melakukan semua kesalahan itu di Maybank Islamic Berhad, Cawangan Merlimau, Jasin, pada tarikh berbeza antara Jun 2019 hingga Mei 2021.
Mohd Hakim dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun, sebat dan denda, jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muaz Ahmad Khairuddin dan Asmaa’ Zamri mencadangkan jaminan RM200,000 dengan mengambil kira keseriusan pertuduhan dihadapi tertuduh.
Peguam Azizzul Shariman Mat Yusoff menghujahkan bahawa jaminan dicadangkan terlalu tinggi dan merayu dikurangkan antara RM20,000 hingga RM30,000 atas beberapa alasan termasuk Mohd Hakim sudah dituduh semalam di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas kesalahan seksyen sama dan dibenarkan ikat jamin RM10,000.
Katanya, tertuduh yang kini berniaga secara dalam talian akan dijamin oleh isterinya yang berpendapatan RM1,500 sebulan selain mereka turut menanggung tiga anak yang masih belajar.
Peguam juga memberitahu tertuduh dijangka dituduh di Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak esok berkaitan kes sama.
Hakim Elesabet kemudian membenarkan tertuduh dilepaskan dengan ikat jamin RM35,000 sementara menunggu perbicaraan selesai, serta menetapkan sebutan semula kes itu pada 13 Mac depan bagi serahan dokumen.
Semalam, Mohd Hakim dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dakwaan menyalahgunakan wang derma bantuan misi kemanusiaan berjumlah RM207,000, tujuh tahun lalu.
Harta yang didakwa disalahgunakan itu membabitkan wang derma bantuan misi kemanusiaan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Myanmar, Yaman, Syria dan Palestin.
