KUALA LUMPUR: Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, berkata pihaknya bukan bertindak atas ‘dasar suka suka’ dalam menentukan keputusan tiada tindakan lanjut (NFA) diambil terhadap 47 pertuduhan rasuah berkait dana Yayasan Akalbudi, membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sebaliknya, beliau menjelaskan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira fakta dan undang-undang dibangkitkan dalam representasi oleh peguam yang mendorong pihaknya bertindak menyemak semula kes berkenaan.
Katanya, ia termasuk mengambil kira siasatan lanjut dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mendapati tiada keperluan untuk kes berkenaan diteruskan.
“Ya (Ahmad Zahid) sudah bebas seperti dinyatakan dalam kenyataan media hari itu. Dia bebas secara muktamad, mutlak. Tak ada masalah sebab kita menggunakan kuasa mengikut Fasal 145. Apabila kita tutup dan kita nyatakan secara muktamad, that’s it (itu saja).
“Kita menggunakan kuasa mengikut undang-undang. Apabila kita melihat ada enam representasi diberikan, jadi kena faham saya bertindak bukan atas suka-suka.
“Sebelum ini, kita semak dan dapati ketika itu perlu ada siasatan lanjut yang menyebabkan kes DNAA (melepas tanpa membebaskan). Namun, apabila kita kaji balik, SPRM pun buat siasatan lanjut, didapati tiada keperluan untuk kes diteruskan.
“Jadi, (Ahmad Zahid) tidak boleh didakwa lagi, sudah selesai. Once and for all (secara muktamad),” katanya kepada media selepas menghadiri Pembukaan Tahun Perundangan 2026 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.
