KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memantau pengedaran Bantuan Awal Persekolahan (BAP) di beberapa sekolah sekitar Sungai Besi, sebagai usaha meringankan beban ibu bapa dalam membuat persiapan awal pendidikan anak-anak sempena sesi persekolahan 2026 bermula hari ini.
Anwar, yang hadir bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, melawat Sekolah Kebangsaan Sungai Besi, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kwong Hon dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Sungai Besi bagi memantau pelaksanaan inisiatif berkenaan.
Menurut beliau, Bantuan Awal Persekolahan merupakan antara langkah penting kerajaan dalam memastikan kebajikan murid dan keluarga terus terbela, khususnya pada permulaan tahun persekolahan.
Dalam lawatan tersebut, Perdana Menteri turut meluangkan masa menyantuni murid-murid yang baru melangkah ke alam persekolahan.
Beliau berkata keterujaan dan wajah ceria kanak-kanak itu mencerminkan harapan besar ibu bapa, keyakinan para pendidik serta cita-cita masa depan negara.
“Sekolah bukan sekadar tempat menimba ilmu, tetapi merupakan ruang awal pembentukan sahsiah, disiplin dan jati diri anak-anak,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Sehubungan itu, Anwar menegaskan pendidikan akan terus menjadi keutamaan negara. Menurut beliau, kejayaan sistem pendidikan tidak hanya bergantung kepada dasar dan peruntukan kerajaan, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, ibu bapa dan warga pendidik.
Beliau menambah, hubungan yang kukuh antara semua pihak amat penting bagi memastikan murid menerima sokongan menyeluruh, sama ada di sekolah mahupun di rumah.
“Dengan pendidikan yang berkualiti serta berteraskan nilai dan kemanusiaan, kita yakin mampu melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran masa depan,” katanya.

