SANDAKAN: Barisan Nasional (BN) Sabah yakin dengan kemampuan golongan muda menjadi penggerak jentera kempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, selari dua calon muda yang diketengahkan parti itu.
Pengerusi BN Sabah yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya BN, Datuk Jafry Ariffin, berkata antara 50 hingga 60 peratus pengundi di Kinabatangan adalah golongan muda.
Beliau serta pemimpin sedia ada akan memberi tumpuan terhadap pengundi 40 tahun ke atas bagi memastikan liputan kempen yang menyeluruh dan seimbang.
Katanya, gabungan antara tenaga muda dan pengalaman pemimpin lama menjadi kekuatan utama BN dalam menghadapi cabaran pilihan raya kali ini.
“Pengundi setempat antara 50 hingga 60 peratus adalah pengundi muda, calon BN pun anak muda dan ada kekuatan untuk bergerak bersama orang muda.
“Pemimpin sedia ada akan beri tumpuan kepada pengundi biasa. Itu antara pendekatan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Foyer Pintu Masuk Pusat Konservasi Beruang Madu Borneo (BSBCC) dan Pusat Informasi Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok di sini, hari ini.
Mengenai strategi kempen, Jafry berkata, segala persiapan termasuk gerak kerja jentera sudah disusun rapi di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) sejurus penamaan calon.
“Kita baru melalui pilihan raya negeri, jadi dari segi enjin jentera mungkin mengambil sedikit masa untuk dipanaskan, namun saya yakin jentera BN memahami tanggungjawab dan tugas masing-masing,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri berkata, semua aspek persiapan sudah dirancang lebih awal dan akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut keperluan di lapangan.
Pada PRK itu, BN menampilkan Mohd Kurniawan Naim Moktar untuk kerusi Parlimen Kinabatangan, manakala Mohd Ismail Ayob bagi kerusi DUN Lamag.
Mohd Kurniawan berdepan saingan tiga penjuru antara calon Warisan dan bebas, manakala Mohd Ismail dicabar calon Warisan.
