KUALA LUMPUR: Sebaik tiba dari lawatan rasmi tiga hari ke Turkiye, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke pejabatnya di Putrajaya untuk meneruskan tugasnya.
Perdana Menteri ketika ini sedang mempengerusikan mesyuarat Kabinet mingguan bagi memantau perjalanan dan tadbir urus kementerian serta agensi kerajaan.
“Alhamdulillah, selamat tiba ke tanah air usai lawatan rasmi di Republik Turkiye. Saya kemudiannya ke pejabat untuk mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri. Untuk Malaysia!,” katanya di Facebook beliau hari ini.
Difahamkan Perdana Menteri tiba di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar jam 12 tengah hari tadi.
Selepas selesai solat Jumaat, beliau kembali ke pejabatnya di Putrajaya untuk mempengerusikan mesyuarat Kabinet yang dijangka akan berakhir sekitar jam 6 petang ini.
Media memetik Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Abu Bakar Yusof, pagi tadi memaklumkan lawatan Perdana Menteri ke Turkiye disifatkan bermakna dan berjaya, khususnya dalam usaha memperkukuh hubungan ekonomi, perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.
Beliau berkata, lawatan berkenaan membuka ruang baharu untuk memperluas kerjasama perniagaan serta menarik minat pelabur Turkiye meneroka peluang di Malaysia.
Anwar ketika sidang media bersama media Malaysia semalam turut memaklumkan hubungan dua hala Malaysia – Turkiye mencatat pencapaian penting dengan penubuhan Penubuhan Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi (HLSCC), sekali gus mengangkat kerjasama ke tahap tertinggi dalam sejarah diplomatik kedua-dua negara.
Anwar turut menyifatkan penubuhan HLSCC sebagai satu langkah besar yang bakal membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala, selain memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai rakan strategik penting Turkiye.
Anwar, juga Menteri Kewangan mengakhiri lawatan rasmi ke Turkiye yang bermula 6 hingga 8 Januari atas jemputan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
