PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) bersedia mengagihkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) lebih awal bermula tahun depan, selepas menerima rungutan ibu bapa berhubung bantuan tahun ini hanya mula diedarkan minggu pertama persekolahan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengakui terdapat rungutan yang diterima oleh pihaknya berhubung perkara itu.

“Kita kebetulan tahun ini kita baru mulakan sesi persekolahan di Januari. Jadi memang ada sedikit rungutan yang kita terima.

“Saya ingat mulai tahun hadapan kita akan terus perbaiki dan saranan itu kita ambil secara serius, maknanya ia diberikan lebih awal untuk persiapan dilakukan lebih awal,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2026 di kementeriannya, hari ini.

Justeru, Fadhlina berharap ibu bapa dapat memanfaatkan bantuan sejumlah RM150 untuk membeli keperluan sekolah.

Beliau juga mengulangi kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim awal minggu ini bahawa ibu bapa perlu hadir sendiri ke sekolah untuk berjumpa dengan guru bagi mendengar laporan serta juga saranan guru tentang anak masing-masing.

Bantuan tunai secara sekali bayar berjumlah RM150 itu disalurkan kepada 5.2 juta murid, satu inisiatif kerajaan mengurangkan beban perbelanjaan ibu bapa atau penjaga dalam menyediakan keperluan persekolahan.

By Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *