KOTA KINABALU: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag dilihat berpotensi menjadi medan ujian penting kepada kematangan kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), khususnya dalam mengurus peralihan kepimpinan anak muda dan penyatuan sokongan di peringkat akar umbi.

Di peringkat Parlimen, landskap politik dilihat lebih jelas apabila Barisan Nasional telah mengesahkan pencalonan Naim Kurniawan Moktar, anak kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin. Pengumuman itu dibuat secara rasmi oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sekali gus menutup spekulasi mengenai calon yang bakal mewakili BN di Kinabatangan.

Pencalonan Naim Kurniawan bukan sekadar kesinambungan legasi, tetapi juga satu usaha BN menampilkan wajah generasi muda bagi mengekalkan pengaruh di kawasan tradisi parti itu.

Ini kerana BN jelas mahu mengekalkan Kinabatangan dengan calon yang mempunyai nilai simbolik dan emosi kepada pengundi, di samping membawa naratif pembaharuan melalui generasi muda.

Berbeza dengan Parlimen, situasi di DUN Lamag masih terbuka. Setakat ini, tiada calon rasmi diumumkan, namun nama Johainizamshah Johari mula beredar di peringkat akar umbi sebagai antara individu yang dilihat berpotensi sekiranya PRK diadakan dan keadaan politik semasa tidak berubah.

Menurut sumber dalaman, sokongan terhadap Johainizamshah tidak datang dalam bentuk keputusan parti, sebaliknya lahir daripada sentimen akar umbi yang mahukan kesinambungan kepimpinan tempatan serta pendekatan politik yang lebih dekat dengan belia dan komuniti setempat.

“Ini bukan soal calon sudah diputuskan atau tidak. Ini lebih kepada suara di bawah yang mahu wajah yang mereka kenal, faham masalah mereka, dan pernah bekerja bersama mereka,” kata sumber berkenaan.

Johainizamshah sebelum ini berkhidmat sebagai Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Lamag, dan tempoh itu dikatakan memberi kelebihan dari segi penguasaan isu setempat, jaringan komuniti serta keupayaan berinteraksi secara langsung dengan penduduk di kawasan berkenaan.

Mengimbas kembali keputusan pilihan raya lalu di DUN Lamag, sumber berkenaan menjelaskan bahawa kekalahan bukan semata-mata berpunca daripada penolakan pengundi terhadap parti, sebaliknya dipengaruhi oleh perpecahan sokongan, termasuk faktor dalaman yang mengakibatkan sebahagian undi beralih kepada calon bebas.

“Undi berpecah. Bila ada pertembungan kepentingan dalaman, pengundi jadi keliru. Akhirnya, calon BN menang dengan majoriti yang tidak terlalu besar,” jelas sumber itu.

Situasi tersebut, menurutnya, telah mencetuskan kesedaran baharu dalam kalangan pengundi dan jentera tempatan mengenai kepentingan penyatuan kekuatan politik.

Isyarat Kematangan Kerjasama BN–GRS

Dalam konteks semasa, gabungan BN di peringkat Parlimen dan GRS di peringkat DUN dilihat sebagai formula yang realistik dan saling melengkapi, khususnya dalam memastikan kestabilan politik serta keberkesanan tadbir urus di Kinabatangan–Lamag.

Walaupun demikian, sebarang keputusan muktamad berhubung pencalonan DUN Lamag masih tertakluk kepada rundingan dan kelulusan kepimpinan tertinggi GRS.

Pemerhati politik menjangkakan perkembangan lanjut akan menjadi petunjuk penting sejauh mana kesepaduan politik BN–GRS benar-benar dapat diterjemahkan dalam PRK Kinabatangan–Lamag.

By Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *