KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan pendengaran kes menghina mahkamah membabitkan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berhubung kenyataannya berkaitan inkues kematian Zara Qairina Mahathir, pada 3 Februari tahun hadapan.

Mohd Shafie tidak hadir pada prosiding hari ini, walaupun mahkamah sebelum ini mengingatkan peguamnya untuk memastikan Ahli Parlimen Semporna itu hadir ke mahkamah apabila kes disebut.

Pada prosiding hari ini, Hakim Amir Shah Amir Hassan turut mengarahkan pihak pendakwaan memfailkan afidavitnya selewat-lewatnya 26 Disember, dengan memfailkan jawapan balas pada 9 Januari tahun depan.

Sementara hujahan bertulis kedua-dua pihak perlu difailkan selewat-lewatnya 19 Januari tahun depan.

Mohd Shafie, diwakili pasukan peguam diketuai Chen Ket Chuin KC bersama Jakariya Ab Jalil dan Bartholomew Jingulam, memaklumkan mahkamah bahawa permohonan untuk membatalkan prosiding komital itu difailkan pada 15 Disember lalu.

Ket Chuin berkata pihak pembelaan juga akan memfailkan afidavit untuk menyokong permohonan itu dan menentang prosiding komital yang disahkan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalan.

Pada 23 Oktober lalu, Amir Shah memberikan kebenaran kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah terhadap responden, selepas hujahan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa dan Nadia Mohd Izhar.

Menurut AGC, selaras kebenaran mahkamah yang diberikan itu, kertas kausa bagi prosiding komital telah diserahkan kepada Mohd Shafie pada 3 November lalu di Tawau, Sabah.

Responden dikehendaki menjawab penyataan itu mengikut Aturan 52 Kaedah 3(2) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, serta memfailkan afidavit sokongan masing-masing dalam tempoh 14 hari.

By Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *