KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua timbalan menteri yang baru dilantik supaya terus memelihara hubungan baik dengan pelbagai pihak termasuk pada peringkat kementerian, agensi dan seluruh lapisan masyarakat.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata amanah dan tanggungjawab yang dipikul semua timbalan menteri perlu digalas sebaik-baiknya agar setiap dasar Kerajaan MADANI dapat dilaksanakan dengan berkesan serta memberikan manfaat nyata kepada rakyat.
“Peri pentingnya aspek komunikasi diperkasakan secara berterusan supaya maklumat yang disampaikan jelas, tepat dan sampai kepada semua lapisan masyarakat, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang berteraskan keterangkuman dan kebertanggungjawaban,” katanya selepas menerima kunjungan timbalan-timbalan menteri yang baharu di Putrajaya, hari ini.
Semalam, sebanyak tujuh menteri termasuk dua lantikan baharu serta lapan timbalan menteri lantikan baharu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim susulan rombakan Kabinet Kerajaan MADANI.
Pada Selasa lepas, Anwar mengumumkan pelantikan menteri baharu serta pertukaran beberapa portfolio berikutan kekosongan dalam Kabinet Kerajaan MADANI dan keperluan membuat penyesuaian.
