MELAKA: Pemuda UMNO berharap Naim Moktar, anak sulung kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, dinamakan sebagai calon mewakili Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kinabatangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan yang dijadual berlangsung 24 Januari ini.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata harapan itu disandarkan kepada komitmen tinggi serta bakat kepimpinan dimiliki Naim, yang disifatkan hampir menyamai Allahyarham bapanya, khususnya dalam menyantuni rakyat dan membela kebajikan penduduk setempat.
Beliau yang juga Ketua Pemuda BN, berkata Naim yang juga Penolong Bendahari Pemuda UMNO bukan sahaja aktif dalam gerak kerja parti, malah dikenali sebagai individu berdisiplin, berprinsip dan dekat dengan masyarakat di peringkat akar umbi khususnya dalam kawasan Parlimen terbabit.
“Sehubungan itu, Pemuda UMNO mencadangkan Naim diberi kepercayaan untuk menggantikan Allahyarham bapanya di Kinabatangan kerana beliau sememangnya layak dan berpotensi meneruskan legasi khidmat bakti kepada rakyat di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada 24 Januari ini.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, dilaporkan berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 10 dan 20 Januari ini.
PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan kematian Bung Moktar pada 5 Disember lalu.
Bung Moktar, 66, menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 1.46 pagi ketika sedang menerima rawatan di Hospital Gleneagles.
